Wednesday, April 6, 2011

Seri Bangswan USM di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur

Seri Bangsawan USM akan kembali membuat persembahan Bangsawan Mestika Bumi, olahan naskah oleh Halimi MN dan diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Haji Abdul Samat Salleh bertempat di Panggung DBKL pada 20-22 Mei 2011, jam 8.30malam. Persembahan ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negara bersama-sama DBKL sempena program SEMARAK BANGSAWAN untuk tahun 2011 ini.

Sedikit sebanyak maklumat tentang kumpulan Seri Bangswan USM bermula dengan keperihatinan Universiti Sains Malaysia melihat teater Bangsawan hampir kepada penghujungnya terutama sekali pada akhir tahun 70an, satu langkah pro aktif telah dilaksanakan dibawah seliaan Bahagian Seni Lakon, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dua orang tokoh Bangsawan tanah air yang menetap di Pulau Pinang iaitu Alias bin Abdul Manan (Pak Alias) dan isterinya Aminah binti Nani (Mak Minah) diambil untuk berkhidmat. Mereka dilantik melaksanakan tugas pada tahun 1980 secara tidak langsung tertubuhlah perkumpulan SERI BANGSAWAN USM. Inisiatif ini dimulakan oleh Prof. Shaharom Ahmad (Timbalan Naib Canselor Pembangunan) dan Dr. Ghulam Sarwar Yusouf (Pensyarah Bahagian Seni Lakon) pada ketika itu, Kumpulan Seri Bangsawan USM dianggotai oleh kakitangan USM, pelajar-pelajar dan juga aktivis bangswan di negeri Pulau Pinang, antaranya ialah Encik Ali bin Abdul Rahman dan Puan Zuraidah Ahmad yang masih kekal bersama dengan bangsawan USM sehingga hari ini. Seri Bangsawan USM membuat latihan dan pertemuan setiap hujung minggu bertempat di Panggung Sasaran. Sepanjang tahun 1980 -1995

Kumpulan ini saban tahun membuat persembahan secara tetap sempena Pesta Pulau Pinang, tempat utama persembahan ialah di Dewan Seri Pinang dan juga Panggung Sasaran USM. Selain daripada itu mendapat juga undangan bermain di sekitar daerah Pulau Pinang dan juga di negeri-negeri lain disebelah utara. Pada tahun 1991, Pak Alias telah meninnggal dunia, namun ini tidak mematahkan semangat kumpulan dan Mak Minah masih meneruskan perjuangan sehinggalah pada tahun 1995. Selepas itu teater bangsawan di USM telah terhenti sehinggalah pada tahun 2002 diatas keperihatinan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan pada waktu itu ia dihidupkan kembali dengan dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Abdul Samat bin Salleh. Sepanjang lapan tahun sehingga hari ini, kumpulan Seri Bangswan USM telah mempersembahkan antaranya Bangsawan Bakawali dipersembahkan di Auditorioum Dewan Budaya USM (2002 dan 2007), Panggung Bandaraya Kuala Lumpur (2007) Bangsawan Puteri Kuala Jelapang di Auditorioum Dewan Budaya USM(2003), Bangsawan Jula Juli Bintang Tujuh (2004-2006) yang telah dipersembahkan di USM, Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Taman Budaya Alor Setar, Taman Budaya Kuala Trengganu dan Taman Budaya Kuantan, Pahang. Pada tahun 2006 Bangsawan Jula-Juli Bintang Tujuh telah dinamakan untuk 3 pencalonan BOH Cameronian Art’s Award, iaitu Pengarah (Abdul Samat Salleh), Tatacahaya (Roslan Chin) dan Skrip (Halimi Mohamed Noh).

Sehingga hari ini dan akan datang teater Bangsawan akan terus segar dan terus dipupuk memandangkan dari masa ke semasa telah ramai barisan pelapis yangbegitu serius memulihara teater tradisional ini. Seterusnya juga akan berusaha untuk memartabatkan kembali Pulau Pinang sebagai Pusat Perkembangan Bangsawan Tanah Air, sebagaimana tempat ianya bermula. Ia akan menjadi satu realiti berkat daripada sokongan dan kepercayaan daripada kepimpinan dan seluruh warga Pusat Pengajian Seni, USM. Ia juga sebagai satu amanah yang perlu dijaga dan dipelihara hasil daripada usaha tokoh bangsawan tanah air, Allahyarham Alias bin Abdul Manan dan Allahyarhamah Aminah binti Nani.


Halimi MN

No comments:

Post a Comment